Wednesday, July 29, 2009

Kembalinya ke rahmatullah

Hari ini 30.7.2009 lebih kurang pukul 4.25 pagi seorang kawan baik aku iaitu NORASMADI BIN NORDIN telah kembali ke rahmatullah selepas beberapa tahun mengidap penyakit kencing manis kronik. Allahyarham sebenarnya telah hampir dua bulan terpaksa di potong kaki kanannya akibat daripada kencing manis.Kedua-dua buah pinggangnya juga telah rosak dan memerlukan dialisis 3 kali seminggu. Jadi kepada sesiapa yang mengunjungi blog ini aku menyeru kepada semua agar kita sama-sama dapat sedekahkan al-fatihah, semoga rohnya ditempatkan di kalangan roh orang yang beriman. Al-Fatihah.

Kali terakhir aku jumpa allahyarham ialah pada cuti semester yang lepas, mungkin 3 dan 4 jun 2009.Waktu itu allahyarham baru saja keluar hospital selepas operation mengamputasi kaki kanannya. Dua kali aku bersama dengan petaiyah menziarahinya yang terlantar sakit di rumah ibunya bertempat di Kampung Batas Lintang, Perlis. Allahyarham nampak lebih ceria, lebih sihat walau pun kekadang agak sedih dengan apa yang berlaku.

Allahyarham ni berkawan dengan aku berbelas tahun. Kami sama-sama satu kelas dari darjah 1-6 kat Sekolah Kebangsaan Simpang Empat.Kemudian sama-sama masuk tingkatan 1-3 Commerce kat Sekolah Menengah Syed Saffi Perlis. Tingkatan 4-5 kami sama-sama bertukar ke Sekolah Menengah Syed Alwi untuk memasuki aliran sains.Selepas itu kami pernah bekerja bersama-sama kat Pos Malaysia Kuala-Lumpur. Kemudian barulah kami membawa haluan masing-masing, tetapi masih juga sekali-sekala berjumpa.

Asmadi yang ku kenal adalah seorang rakan yang baik.Kalau di bawanya bekalan makanan (bapanya dulu bisness makanan) selalu dia kongsikan dengan kami. Tapi yang paling bagus sekali ialah kesediaannya berkongsi buku rujukan tambahan yang dimilikinya. Allahyarham membeli banyak buku rujukan tambahan, dan kami akan pinjam.Sama-sama buat latihan dan belajar. Allahyarham agak gempal badannya tetapi aktif dalam sukan. Cuma allahyarham selalu kecik hati dengan kami, sebabnya apabila nak bentuk pasukan bolasepak 7 atau 9 sebelah kami selalulah tak pilih beliau.Maklumlah ,dia gempal dan tak berapa kuat nak lawan dengan team lain. Maafkan kami Madi.

Atas faktor jarak aku tak berkesempatan menziarahi allahyarham, dan mengiringi perjalanan terakhirnya. Maafkan aku teman.Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu.Dan kepada keluarganya, terutamanya bekas isteri dan 3 cahayamatanya, semoga tabah menghadapi dugaan tuhan ini.

Al_Fatihah.

No comments: