Sunday, December 19, 2010

Projek baru...


Macam mana kalau aku mulakan satu projek baru? Projek apa? Projek memancing udang galah. Rasa-rasa teringin juga aku nak menceburkan diri dalam arena ni. Kalau ada lebihan gaji bulan ni, balance-balance lepas bayar hutang, aku nak beli peralatan mancing, joran, kail dan sebagainya. Lepas tu nak gi mancing kat sungai timun.


Sapa nak join bagi nama cepat. Ini peserta yang dah confirm :

1. Petaimuda

2. Petaiyah

3.Petaijunior

4.

5.


Ha, sapa yang teringin nak join, isikan nama kat senarai tu.


Gambar2 udang kat bawah ni, bukannya hasil mancing. Hasil belian. RM50, sekilo.Ini nama dia udang galah transformer.Esok udang ni akan transform jadi masak lemak campur tomato, ataupun transform jadi sambal. Paling koman pun dia akan transform jadi udang goreng bodo.Semuanya bergantung kepada mood dan energy ibu segala transformer....petaiyah.










Tuesday, December 7, 2010

Licensed to grill

Dah sebulan dah tak berblog. Tak berapa bernafsu. Petang tadi pekena kopi jantan secawan bersama dengan setin longjack, malam ni terus bernafsu balik. Bernafsu nak update blog.

Apa yang diperlukan untuk jadi pembakar yang baik?.

Tahan panas. waktu bakar ayam ni punyalah panas, berpeluh menitik-nitik. Rasanya ada yang menitis atas ayam tu kot.Perisa tambahan.
Tahan asap. Bernafas pun susah. Banyak telan asap aja.

Tahan nafsu.......nafsu nak makan dahulu, cubit-cubit rasa. silap-silap aribulan orang lain tak sempat nak merasa pun. Ini bakar mentarang.

Syarat terakhir.....tukang bakar yang baik mestilah hensem sikit2. Baru ada selera nak makan.Ini gambar aku bakar ikan gerut di Perlis. Terliur.......

Wednesday, November 3, 2010

Gugurnya Mbah Maridjan

Hai...ini tajuk entry blog ke tajuk drama terbaru slot seram kat tv3Lain macam aja. Apa cita ni bro......

Korang kenal ke mbah maridjan ni. Ringkasnya mbah ini adalah orang yang dipertanggungjawabkan menjaga gunung merapi, mententeramkan gunung berapi tersebut supaya tidak meletus.Jawatan yang diwarisi daripada atuk nenek moyangnya.

Kisah mbah ni dah tersohor hinggakan Natgeo pun ada satu dokumentari berkenaan beliau.Minggu lepas bila merapi nak memuntahkan laharnya, mbah maridjan enggan berpindah, meninggalkan tugasnya sebagai penjaga gunung tersebut, serta memungkiri janjinya kepada kraton jogjakarta.Akhirnya beliau gugur, tertimbus dalam wasap panas, dan mengikut blog-blog di indonesia mayatnya dijumpai dalam posisi bersujud. Setia sungguh dia dengan tugasnya hingga akhir hayat.

Kita ni setia ke dengan kerjaya kita. Tanda2 orang yang tak setia :

1. Asyik mengutuk aja kerja sendiri - gaji kecik le, kerja banyak le, susah naik pangkat le....pendek kata macam2.

2. Tak ada perasaan berbangga dengan kerja sendiri - walhal tiap2 bulan menyara keluarga dengan gaji yang diperolehi di situ. Kalau ditanya kerja kat mana, segan aja nak cakap.

3. Susah terima perubahan....itu tak betul, ini tak kena,itu tak bagus.....dia aja yang bagus dan betul.

Gambar bakar sampah aja.

Monday, October 25, 2010

Kami serupa


Kami serupa....biar betul....apa yang serupanya.Aku smart, dia lagi smart.Aku fotogenik, dia lagi le fotogenik.Dia model look, aku bellboy look.Dia winter sonata style, aku roti parata style.Mana ada sama.

Minat kami yang serupa. Jalan-jalan makan angin.Inilah percutian hujung minggu kami yang terbaru......Janda Baik Pahang. Niat di hati nak bermalam di situ, tapi tak booking hotel,penuh terpaksa le balik.

Satu tempat yang cantik, natural beauty,sejuk.....dan ramai janda yang baik-baik, agaknya le.
Jom melancong. Next month insyaallah aku nak pi Desaru dan Mersing pulak.


Monday, October 18, 2010

Beauty is in the eye of the beholder


Cantik....satu penilaian yang cukup subjektif. Cantik pada mata kita mungkin tidak cantik pada mata orang lain.

Apabila kita melihat pasangan yang dah berkahwin atau sedang bercinta,, biasanya komen2 ini akan terpancut keluar.

" Alahai....kureng le bini dia. Tak padan langsung".

" Macam mana le mamat ni boleh syok kat bini macam tu, aku lagi lawa"

"Buta ka mamat ni, taste dia out langsung"

Ayat2 kat atas boleh diganti bini=laki, mamat=minah".

Gambar2 kat bawah ni cantik pada pandangan aku. Kalau korang kata ianya tak cantik itu terpulanglah pada penilaian korang semua. Ada aku kisah......






Thursday, October 14, 2010

Megatrends poooliiiii........

Last week aku sempat breakfast di pasar telok kemang, makan nasi lemak sambal sotong......nasik lemak paling sedap di Malaysia....better than nasi lemak antarabangsa.

Waktu aku sampai ada le sekumpulan teman2 sekerja tengah sarapan sambil rancak berbual. Topiknya ....... aku sibuk, kau pun sibuk. Aku pun curi2 dengaq apa yang dibualkan.

Kata si A (nama samaran) " aku sibuk le sekarang ni......bla....bla....sibuk.....sibuk...bla....bla "

Balas si B " aku lagi sibuk ....bla....bla...lagi sibuk.......lagi sibuk.....bla...bla.".

Melopong si A mendengar kesibukan si A.

Menyampuk pula si C " aku lagi,lagi dan lagi sibuk.....bla...bla....dan lagi, lagi dan lagi sibuk ....bla...bla "

Terpancut keluar taik telinga si A dan si B mendengar kesibukkan si C.

Tapi betulkah depa tu sibuk sampai tahap tu.Betulkah kita kat pooooliiiii ni sibuk sangat2.
Waktu aku dah berangkat balik ketiga-tiga teman ni masih lagi rancak mempamerkan kesibukkan masing.Bagi aku yang betul2 sibuk waktu tu hanyalah makcik yng jual nasi lemak, pekerja buat canai, bihun sup dan mee kari. Depa ni memang sibuk, yang lain tu menyibuk aja.
Inilah megatrends kat pooooliiiiii sekarang ni, semua orang sibuk atau mengaku sibuk atau buat2 sibuk.Ha...yang mana satu.

Sapa2 yang nak rasa sibuk dalam erti kata yang sebenarnya,,cuba ambil cuti tanpa gaji 3 bulan, pi keja kat swasta.Kemudian baru kita bandingkan.

Aku pun sibuk juga, sibuk bercuti kalau tak sibuk sangat bekerja.

Sibuk bermadi manda di swiming pool.


Sibuk berehat kat resort,,plantation resort hot spring sg kelah.


Tuesday, October 12, 2010

Shhhhh------------semalam aku pegi rumah urut

Malam tadi aku tak tahan sangat-sangat. Semua benda buat pun tak kena. Makan tak kena, duduk tak kena tidoq pun tak kena.

Bila ketidaktahanan itu sampai ke kemuncaknya, tanpa segan silu, dengan tebalnya muka aku cakap " yah, tolong sekejap, tak tahan ni, urut sikit-sikit pun jadi le".

Petaiyah pun apa lagi, dengan muka gabannya terus celapak untuk mengurut.Urutannya pula,,, alahai......no comment......no comment......no comment.

Tak boleh jadi ni, urutan tu tak berkesan, jangan kata memuaskan sikit pun tak meredakan. " Yah.....saya nak pegi rumah urut le ".

Petaiyah " elok le tu, saya pun dah tak larat nak urutawak , jum pegi sekarang ni jugak, kalau awak tak ada duit saya sponsor".

Mak ooi, ada juga spesis bini macam ni, kita baru cakap nak pegi rumah urut....terus dapat sokongan 100%.

Sebenornya kaki aku ni sakit sangat malam tadi, entah urat apa yang bersimpul aku pun tak tahu.Allahdulillah selepas diurut oleh mak cik tu,,,,, baik aja jadinya.

Tapi sakitnya diurut macam sakit nak beranak pulak. Tangan dia punya le keras macam jengkaut pulak. Terpekik terlolong aku tahan sakit. Ari ni dah ok, syukur.....dan thanks makcik apa ka nama........

Gambar orang tengah gembira dan puas hati selepas balik dari rumah urut.

Wednesday, September 29, 2010

Transformasi...........

Semenjak 2 menjak ni istilah ni cukup popular.Popularitinya mengalahkan populariti artis mahupun populariti tongkat ali dengan kacip fatimah.

Bagi aku senang saja, transformasi maksudnya berubah, berubah kepada yang lebih baik.Sapa-sapa yang tak nak berubah bakal menerima nasib macam dinosor.Pupus, tersingkir.

Bagaimana pun perubahan macam mana yang boleh dikategorikan sebagai transformasi. Jawapannya : perubahan kepada sesuatu yang lebih baik daripada keadaan sedia ada ". Bukan berubah hanya sekadar nak berubah, cosmetic transformation, change just for the sake of change.

Elemen yang paling sukar untuk ditransform ialah manusia. attitude. Ini yang payah sangat nak berubah.

Apa2 pun gambar kat bawah ni boleh gambarkan serba sedikit tranformasi yang akan berlaku.


Natural transformation, muda ke tua.
Dream transformation, my waja will transform to ....................................................................

Sunday, September 19, 2010

FRP TERBAIK


Inilah FRP terbaik bagi semester ini. Bukannya FRP Semaun, Jamilah ataupun sesiapa sahaja.FRP ini aku katakan terbaik kerana :
1. Air yang bersih penting untuk kesihatan tubuh badan.
2. Air yang bersih penting untuk mental yang waras dan rasional.
3. air yang bersih penting untuk berwuduk dll.

Sunday, August 8, 2010

Syukur, semuanya selamat

5.8.2010 yang lepas aku terlibat dengan program Orientasi Kurikulum Baru di politeknik Merlimau Melaka.Jadi pukul 7.30 pagi aku dah bertolak dari PD.Tak payah nak rushing sangat sebab slot aku bermula 2.30 petang.

Dalam 9.00 pagi aku sampai ke plaza tol Merlimau, tunggu brader Nazar dari politeknik shah alam.Kemudian kami terus ke Politeknik Merlimau.Belum sarapan rupanya, jadi kami pun singgah kat satu foodcourt berhadapan dengan poli Merlimau.Aku dan Nazar makan roti canai dan teh panas kat situ.Sembang punya sembang hingga pukul 10.00 pagi. Masa untuk masuk poli, buat kerja.

So, aku pun bergerak ke tempat parking.Teng....teng.....teng, keta aku tak ada kat tempat parking.Cari punya cari, rupa-rupanya keta aku dah mengundur, hentam divider jalan dan terperosok kat situ. Hampir-hampi lagi merempuh pokok dan terhumban ke jalan utama pekan merlimau tu.Masyaallah, terlupa tarik handbrake gamaknya. So dengan bantuan beberapa orang kat situ, tolak dan keta berjaya dikeluarkan tanpa kerosakkan yang serius.

Syukur betul, waktu keta tu berundur langsung tak merempuh keta lain yang banyak di parking kat situ. Straight saja hingga ke hujung dunia.Kalaulah dirempuhnya keta lain, atau orang yang lalu lalang kat situ, susahle jadinya.



Inilah rupanya keta yang boleh berjalan sendiri.
Gambar2 kat bawah ni tak ada kaitan dengan cerita di atas. Saja nak tunjuk aktiviti ecotourism aku yang terbaru.Melawat, jalan-jalan cari makan ke Parit Jawa Johor.



Ikan talang kering dijemur atas lantai macam tu saja. Patut le sedap, masin-masin, lemak manis.Destinasi ecotourism aku yang seterusnya lepas ni antara Mersing ataupun Kuala Gula.Jom melancong.

Saturday, July 17, 2010

Dah dekat 200,000

Sikit hari lagi dah cukup le 200,000.Apa yang 200,000 ni, duit ASB ka, duit kutu ka, MLM ka.
Bukan, semuanya bukan. Sikit hari lagi mileage keta aku akan cecah 200,000 km.Huyoo, dah jauh perjalanan tu. Jangan kata jarak ke Singapore, ke Somalia pun 10 kali pegi balik pun tak capai jarak tu.

Usia dah dekat 7 tahun tapi masih lagi mantop, ganteng dan yang sewaktu dengannya. Tak ada masalah besar, cuma benda-benda biasa aja, part yang wear and tear.

So last week, aku buat major servis, tukar belt, tayar, segala jenis minyak dll. Harap2 dia akan terus mantap beri servis kpd aku, petaiyah dan petaijunior.

Apa2 pun untuk perancangan masa depan aku hold on dulu. Tunggu nak tengok waja replacement model dulu. Hidup proton, hidup waja.


Thursday, June 24, 2010

market yourself first.................

Rukun dalam pemasaran, before you market a product, market yousrself first.

Built relationship dengan target customers dulu, than baru jual produk.Gambar2 kat bawah ni menunjukkan petaijunior sedang market himself. Gaya2 nya macam sukses aja. Rasa2nya cepatle aku dapat menantu.

Asyik berdua-duanya saja, macam loving couple pulak.




Mungkinkah kehadiran orang ketiga dapat menyelamatkan aku. Selamat daripada apa?Selamat daripada cepat sangat jadi bapa mertua orang ataupun jadi atuk.

Sekali tu petaijunior pernah cakap kat petaiyah, " ibu, abang rasa abang tak nak le kawin dgn didi,".

"kenapa?' tanya petaiyah.

"gigi dia penuh, tak rosak macam abang," jawab petaijunior.

La...... ke situ pulak. Inferior le ni.......

Tuesday, June 22, 2010

Hidup tanpa petaiyah........

Minggu ni petaiyah outstation, ada meeting tracer study kat KL.Tinggal le aku terkontang-kanting dengan petaijunior.

Bila petaiyah tak ada perjalanan hidup aku dengan petaijunior pun berubah. Antaranya .......

1. Pagi2 tak ada lagi milo campur oat, teguk air kosong saja untuk alas perut.
2. Alarm mesti disetkan every night takut terbabas.
3. Makan malam biasanya hanyalah nasi goreng ayam akak kat depan pasar Kemang Jaya, tapau aja, malas nak pergi makan luar.
4.Baju petaijunor tak bersalin le jawabnya, tak ada le aku nak tukarkan ke baju tidur, pakai ajale apa yang kau punya pengasuh bagi.
5. Boleh le aku sarapan kat kedai mamak, makan tengahhari pun kat kedai mamak...... ye ba da ba du ......... boleh belasah roti canai, roti telur, capati, tosei, kari kapla dll....... mamak mania.
6. Boleh le aku surf internet sepuas-puasnya sampai terlelap, boleh tengok mudah.com semaksimum mungkin cari keta, tak ada orang nak perli-perli.

Tapi semua ni seronoknya sekejap aja. Masuk hari kedua saja dah mula boring, lalu aku mesej kat petaiyah : " awk kalau ada peluang blik awal, belah le, saya jemput kat stesen kmtr"

Gambar2 hiasan aja, tak ada kaitan dengan cerita di atas.


Percutian di Perlis.Sanak saudara aku memasak untuk jamu ofis mate aku.
Kawan2 tengah makan, mat dengan tamimi.

Selamat menjamu selera cik-cik no.

Sunday, May 16, 2010

Happy teachers day

Kisah 1

Bersempena dengan hari guru tahun ni, aku dapatlah 3-4 ucapan selamat hari guru. Magiknya semua ucapan tu datangnya dari ex students yang dah bertahun graduat. Students semasa, yang aku tengah bertungkus lumus mengajar, nak bagi depa lulus ................ tak ada sorang pun yang teringat. Pasal apa jadi macam ni.

Tapi aku sedar, aku ni bukanlah jenis guru yang digemari ramai. Kalau poli ni ikut sistem universiti, pelajar boleh pilih lecturer, maunya tak ada students pun nak enroll dalam kelas aku.Students bukannya suka kalau kita ni jenis yang disiplin, bagi kerja banyak,marah meniru dll.

Tak kisah, aku boleh ucapkan selamat hari guru kat diri sendiri. "selamat hari guru petaimuda".Ha.. puas hati aku.

Kisah 2

Aku dulu2 pernah jadi guru sekolah.Mengajar sekejap di Sekolah Kebangsaan Simpang Sanglang, Perlis.Ingat lagi aku mengajar matematik dan jasmani.Sempena hari guru aku dapatlah juga hadiah. Kebanyakkannya adalah tupperware, yang dibungkus kadang2 dengan kertas putih ataupun kertas minyak saja.Maggi pun aku dapat sebagai hadiah hari guru.Tak apa.... yang penting ingatan dan keikhlasan.

Dalam ramai2 studenys tu, ada sorang yang unik sikit. Namanya Sarah Sakinah.Sebelum dia bagi apa2 hadiah dia akan tanya aku dulu.Contoh " cikgu suka tak makan kek"? Kalau aku jawab suka, esok aku dapatle hadiah kek.Unik etul perangai dia.

Apa2 pun untuk semua cikgu2 aku, samada yang aku ingat ataupun yang tak lagi ingat - selamat hari guru, jasamu dikenang.

Tuesday, May 11, 2010

Aku sokong Shaq, kau sokong siapa...


Rancangan2 hiburan ini memang bukan taste aku.AF, One in a million,american idol dll memang aku tak tonoton punya.Tapi rancangan mentor ni lain sikit, aku boleh suka pulak.
Mentor tahun ni aku sokong Shaq. Mentor tahun lepas aku sokong Black.Mentor tahun depan, tak pasti lagi aku samada berminat untuk nontonnya.
Pendek kata sapa2 yang jadi protege Mas Idayu, aku sokong.Sebab aku suka dia, bukan suka mentee dia.
Mas Idayu antara penyanyi genre dangdut yang terbaik di Malaysia. Lagu2 dia yang aku suka Cinta 100%, Selangit, Asyik, Kopi Dangdut dll memang best.Tarian pun ok, tak le seperti goyang dombret inul.
Shaq pun ada advantage.Suara ok, rupa pun sedang2 aja.
Viva Mas, Viva Spain. Spain mesti menang world cup sebab ada good player macam Torres, Villa, Casilas, Silva dll.Viva Malaysia mesti menang Thomas Cup.
Apa yang aku mengarut ni....


Wednesday, May 5, 2010

Aku memang sukaaaaa lubang..............

Hangpa pernah tak tengok iklan keropok Roller Coaster keluaran Jack and Jill. Apa mamat tu cakap “ aku memang suka lubang, apa2 jenis lubang pun aku suka”.Kedengarannya amat lucah pak.

Tapi realitinya kita semua samada lelaki ataupun pompuan memang suka lubang.Bayangkan satu kehidupan tanpa lubang.

Lubang-lubang yang aku, engkau,dia,mereka dan keluarga mereka suka.

1. Lubang hidung - kalau tak ada lubang hidung mu nak gali lubang apo, setiap hari mesti melombong punya.
2. Lubang kat telinga - elok2 telinga tu kao tebuk buat apa.....oooh aku tebuk sebab nak letak subang... kao memang suka lubang.

Satu-satunya lubang yang kita tak sukooo .................................... lubang kubur.

Ya Allah, panjangkanlah umur aku, keluarga aku, kawan2 aku.... semoga dengan umur yang panjang ini kami lebih banyak beribadah kepada mu.Amin.

Tuesday, April 27, 2010

Self audit

Tak semena-mena aku dan petaiyah dilantik untuk mengaudit pengurusan kewangan pelajar.Tugas kami memeriksa bagaimana unit2 yang berkepentingan seperti JPP, exam, library dll menguruskan kewangan pelajar.Berat.

Korang perasan tak kat poli ni banyak sangat audit.Aku senaraikan mana yang aku tahu.....audit ISO,audit aset, audit kewangan, internal audit koperasi,audit keselamatan dll.

Korang perasan lagi tak semua proses audit konsepnya sama saja......memeriksa kerja orang lain, dia buat atau tidak, betul atau tidak,ikut peraturan atau tidak,siap atau tidak.Semuanya menilai hasil kerja orang lain.

Hakikatnya pernah tak kita ni self audit, menilai kerja kita sendiri sebelum kita menilai kerja orang lain.

Pernah tak kita bertanya :
1. betul ke apa yang aku ajar ni, atau lebih auta saja.
2. cukup ke 8 jam sehari aku berkerja, atau lebih banyak aktiviti lain.
3. ada ke kita ni menerapkan nilai2 murni dikalangan pelajar, ataupun main belasah saja.

Fikirkan.

Wednesday, April 21, 2010

Manisnya konvo bila...............

Minggu ini minggu konvokesyen politeknik port dickson yang ke 19.Seumur hidup aku dah 2 kali aku menghadiri konvokesyen.Pertama konvo ITM tahun 92 dulu, kemudian konvo UUM 1997.

Konvo kali ketiga, aku tak berapa minat nak hadir, sama seperti tak berminatnya aku dgn bidang pengajian yang ditawarkan.Aku kirim dekat bakal bini saja untuk ambik masters.

Jubah baru sekali dengan morta board, baru kelas.

Melihat gumbiranya para graduan PPD, aku terfikir balik....... bilakah konvokesyen menjadi events yang sangaaaaat manis.
Manisnya konvo bila.......
1. Dah dapat kerja - bukan lagi mengganggur. Baru seronok pegi konvo. Lebih2 lagi kalau dah boleh beli keta, seronok semacam saja.Kalau masih lagi mengganggur segan semacam le, nak pegi pun tak semangat.
2. Dah kawin, dah ada kekasih - baru seronok pegi konvo, lebih2 lagi kalau bakal mentua, adik ipar, tok sedara, kaum kerabat dia sama2 datang memeriahkan konvo kita.Kalau sorang2 tak ada feel le.
3. Tak payah beratur, tak payah rehearsal,tak payah bayar duit semua free... ha baru seronok.
4. Last sekali lagi best kalau tak payah belajar tapi boleh pegi konvo.Yahooooooo....dapat diploma.

Friday, April 16, 2010

Bila kita di atas

2 minggu lepas aku ada bengkel di Kuala Lumpur.Tidoq kat hotel Maytower tingkat 22.Tinggi ooo.

Boring-boring duduk sorang2, aku pun snap 2-3 gambar. Tak cantik langsung, lebih2 lagi kalau hidung tuan pengarah ahmad nisfu pun disnap sekali.

Dari atas aku nampak semua benda kat bawah tu kecik2 saja, tak cantik, jelek. Jalan Masjid India tu nampak comot sangat, berterabur dan tak elok mata memandang.Itu pandangan dari atas. Walhal tadi bila aku kat bawah, oooh indahnya jalan masjid india.
Begitulah realiti hidup manusia. Bila kita dah kat atas, orang yang kat bawah tu serba tak kena, tak bagus, tak berkualiti ,lembab dan yang sewaktu dengannya. Sedangkan kita dulu pun 2x5 saja.
Selalu marah students tak tumpu perhatian dalam kelas, dulu kau pun tidoq waktu kelas Undang2 Cik Harlida.
Selalu marah students tak nak tanya soalan, sedangkan dulu kau pun tak pernah buka mulut tanya soalan.
Selalu marah students hantar assignment lambat, sedangkan dulu berjela-jela alasan kau bagi kat Cik Filzah sebab lambat hantar tugasan Marketing, Jualan, Projek,Consumer Behavior dll.

Monday, April 12, 2010

My birthday, my wish

Today is my birthday yang ke...................,yang ke berapa ha.... teka...teka.Macam le perangai artis Malaysia. Kalau meneliti kondisi rambut dan abdomen rasa2nya dah nak sama umur dengan honda civic model bullet walaupun tak le setua Datsun 120Y.

Haaa..... sedia semua.1,2, mula ...." allah selamatkan kamu, allah selamatkan kamu, allah selamatkan en petaimuda, allah selamatkan kamu ". Timakasih.

My wish ........
1. Allah panjangkan umur kami sekeluarga
2.Allah sihatkan tubuh badan jauh dari segala jenis penyakit siplis, songkla, kencing manis, darah tinggi dll.
3.Allah sihatkan jiwa dan rohani, jauh dari hasad dengki, riak, bangga diri, sombong, kedekut dll sifat yang tak baik.
4. Allah bahagiakan hidup kami sekeluarga bersama dgn petaiyah dan petaijunior
5. Allah murahkan rezeki kami sekeluarga

amin...amin ya allah..

Saturday, April 3, 2010

Pikir apa tu bro....



Termenung nampak. Pikir apa tu..................
Agak-agak korang, encik petaimuda ni tengah pikir apa. Muka pun nampak serius saja, mata merenung tajam.Mesti masalah negara ni.

Biasanya perkara2 yang aku pikirkan -
1. dah lapar ni, nak suruh petaiyah masak apa
2. gaji lambat lagi le, nak cekau duit kat mana ni
3. malam ni nak balik lewat ni, alasan apa nak bagi kat petaiyah
4.petaijunior asyik tanya soalan pelik2 aja, nak jawab apa.Hari tu dia tanya aku kenapa matahari tergantung, kenapa keta ada 4 roda dll.Pening2.
5. Umur dah zohor ni, bila nak menikah, eh... sebenarnya bila nak pi mekah.
6.bila nak tambah bini, eh... tersasul pulak, sebenarnya bila nak tambah komputer mini.
7.bila nak buat anak, eh..eh...eh.... tersasul lagi le, sebenarnya dok pikir bila nak pi jemput anak.

Biasanya perkara yang dipikirkan petaijunior,
1. esok malas nak pegi sekolah, nak bagi alasan apa hah...
2. esok abah gaji le, nak pau apa hah....
3. rumah bersepah ni, nak bagi alasan apa supaya tak kena kemas balik.


Biasanya perkara2 yang dipikirkan petaiyah
1. tok laki aku nak beli keta baru ni, apa alasan nak halang dia
2. sapa le nak menang AF4 tahun ni ......
3. rasa2 Na O Mei ni nak menikah dengan sapa ha....
4. agak2 bila besar nanti anak erra fazira jadi pelakon tak
5. raya tahun ni nak pakai baju warna apa ha.....